10 Kuih Raya yang Hampir Pupus di Musim Raya

10 Kuih Raya yang Hampir Pupus di Musim Raya

Dahulu, apabila tiba musim perayaan pasti meriah dengan pelbagai juadah yang sangat menyelerakan dan unik. Ia bertambah lebih menarik lagi mengenai penyediaan juadah ini. Para ibu akan bertungkus lumus membuatnya bermula pada bulan puasa lagi.

Mereka akan mula membuat kuih-muih dan menyimpan dalam balang kedap udara. Walaupun penyediaannya agak rumit dan mengambil masa yang lama. Ia tetap dilakukan dengan jayanya dan kuih-muih dalam kuantiti yang banyak.

Walaupun ianya sebenarnya sajian biskut, ia tetap dipanggil sebagai kuih. Ada beberapa jenis kuih yang menggunakan bahan dan aduan yang sama tetapi diasilkan dengan pelbagai bentuk dan corak menarik. Ternyata sekali para ibu sememangnya kreatif dalam penghasilan sajian makanan sejak dahulu lagi.

Akan tetapi kini, terdapat beberapa jenis kuih raya yang kian pupus dan jarang sekali dihidangkan sewaktu perayaan terutama raya Aidilfitri. Kita akan jarang sekali untuk lihat dan disajikan dengan kuih-muih raya ini. Ini kerana, masa yang terhad dan terlalu sibuk dengan urusan kerja harian telah menjadikan ia tidak lagi dibuat sendiri.

 

Kuih Raya #1: Kuih putu kacang

Kredit: salihahmohdamin.blogspot.com

Kuih putu kacang kebiasaanya menggunakan kacang hijau sebagai bahan asas. Ia bukan sahaja terkenal dalam kalangan masyarakat Cina, ia juga dibuat oleh masyarakat Melayu. Ia selalunya dihidangkan dalam majlis keramaian atau perayaan besar masyarakat Malaysia. Cara pembuatannya agak unik pada ketika dahulu kerana tidak perkakasan yang moden dan lengkap. Tapi ia tetap menarik dan agak rumit untuk menyediakannya.

Untuk membuat kuih putu kacang, kacang hijau yang digunakan sebagai bahan utama akan ditumbuk menggunakan penumbuk kayu yang dikenali sebagai lesung kaki. Itu kaedah tradisional bagi menghancurkan kacang tersebut. Bagi kaedah moden, anda boleh menggunakan mesin pengisar untuk menghancurkan kacang.

Kaedah tradisional tersebut makin ditelan zaman dan alatan tersebut juga sukar ditemui sekarang kerana jarang sekali digunakan. Hanya generasi terdahulu sahaja yang masih menggunakannya sebagai alatan untuk memasak. Dalam penyediaan kuih ini juga, kacang hijau yang dikisar tidak menghasilkan rasa yang lebih enak dan akan kelihatan lebih kering berbanding penyediaan dengan menumbuk menggunakan lesung.

Sebelum kacang ditumbuk, ia terlebih dahulu perlu dibasuh dan disejat airnya sehingga kering. Apabila sudah ditumbuk sehingga hancur, ia perlu diayak dan dicampurkan bersama gula. Bagi anda yang ingin mencuba untuk membuat kuih ini, dibawah ini kami sertakan bahan dan cara penyediaan kuih putu kacang ini. Pastikan anda sediakan juga acuannya untuk membakar kuih ini.

Bahan utama:

  • 275g kacang hijau – tumbuk lumat sehinga menjadi halus seperti tepung
  • 50g tepung
  • 1/8 tsp garam
  • 100g gula icing
  • 100-110g minyak masak
  • 2-3 tbsp air sejuk
  • Acuan kuih putu kacang

Cara penyediaan:

Penyediaan doh kuih:

  1. Ayak tepung, kacang hijau, dan gula ising dalam mangkuk adunan. Masukkan garam dan kacau sehingga sebati. Kemudian, masukkan minyak perlahan-lahan dan kacau menggunakan jari sehingga adunan menyerupai serbuk roti.
  2. Uli guna tangan sehingga campuran tadi sebati dan terbentuk menjadi doh yang longgar. Pastikan ianya tidak terlalu melekat dan sangat longgar. Pastikan juga apabila ditekap dalam acuan, ianya masih boleh melekat dan dapat dikeluarkan.
  3. Tambahkan sedikit air jika doh tadi tidak melekat dalam acuan atau menjadi kering ketika proses pembuatan.
  4. Tekan doh dalam acuan dan ketuk keluar daripada acuan untuk disusun atas loyang.

Untuk membakar:

  1. Panaskan ketuhar pada suhu 140°c. Sapukan loyang pembakar dengan sedikit minyak masak.
  2. Letakkan kuih yang telah dibentuk menggunakan acuan ke atas loyang yang telah disapukan minyak. Bakarkan selama 30 minit sehingga bahagian bawah kuih berwarna keperangan.

 

Kuih Raya #2: Biskut Mama Carey

Kuih Raya
Kredit: deskgram.org

Biskut ini sangat terkenal ketika perayaan dari dahulu lagi. Cuma kini ia kurang dilakukan kerana proses pembuatan yang rumit dan memerlukan masa yang lama. Kekangan masa dan waktu bekerja yang padat menyukarkan para wanita untuk membuat sendiri biskut Mama Carey ini.

Bentuk acuannya boleh mengikut kesukaan anda dan kemanisan aising juga mengikut selera anda. Jika tidak suka makanan yang terlalu manis, kurangkan sedikit kuantiti gula aising dalam bahan acuan. Selamat mencuba!

Bahan utama:

  • 200gm mentega
  • 100gm gula kastor
  • 1 biji kuning telur
  • 1 tsp esen vanilla
  • 260gm tepung gandum
  • 50gm tepung jagung
  • 50gm susu tepung

Bahan untuk aising

  • 1 biji putih telur
  • 90g gula icing
  • 1 tbsp tepung jagung

Cara penyediaan:

  1. Pukulkan mentega bersama gula sehingga putih berkrim pada suhu bilik. Kemudian, masukkan kuning telur dan esen vanilla. Putarkan lagi sehingga sebati.
  2. Ayak tepung gandum, tepung jagung dan susu tepung. Kemudian, masukkan sedikit demi sedikit ke dalam adunan mentega tadi sehingga menjadi satu doh yang lembut.
  3. Biarkan doh seketika di dalam peti ais dalam jangka masa 10-15 minit.
  4. Selepas rehatkan doh, keluarkan doh dan tekap dengan acuan mengikut bentuk kesukaan anda.
  5. Susunkan doh yang telah ditekap dengan acuan di atas dulang pembakar. Sebelum itu, griskan dulang dengan mentega atau lapikkan dulang dengan kertas pembakar. Bakar kuih selama 10-15 minit atau separuh masak pada suhu 160°c. Sejukkan seketika.
  6. Paipkan atas biskut dengan bancuhan aising dan corakkan/ lorek atas biskut dengan menggunakkan coklat emulco. Bakar kembali selama 7-8 minit.

Cara penyediaan aising:

Pukul putih telur sehingga kembang, kemudian masukkan gula icing dan tepung jagung. Pukul lagi sehingga semua bahan sebati. Masukkan bahan dalam piping bag.

  1. Pukul telur putih hingga kembang, kemudian masukkan gula icing dan tepung jagung. Pukul lagi hingga sebati. Masukkan ke dalam piping bag.

Kuih Raya #3: Biskut dam

Kuih Raya
Kredit: totbakedesign.blogspot.com

Biskut dam ini jika dibuat dengan kaedah yang betul dan mengikut cara penyediaan yang tepat, ia akan menjadi sangat ranggup dan enak sekali. Jika anda inginkan biskut mudah dibentuk dan ranggup, anda perlu masukkan doh bancuhan biskut ini ke dalam peti sejuk selama beberapa minit.

Ia menjadi sedikit rumit kerana penyediaannya perlu mengasingkan dua bancuhan doh yang berbeza iaitu doh vanilla dan coklat. Ia bagi menghasilkan dua warna yang berlainan suapaya menjadi seperti papan dam. Kepingannya agak besar dan pastikan ketebalannya juga bersesuaian bagi mengelakkan biskut menjadi terlalu tebal.

Selamat mencuba!

Bahan utama:

Bahan untuk doh vanilla:

  • 100g mentega
  • 65g gula kastor
  • 1 biji telur – suhu bilik, kacau sebati
  • 220g tepung kek – ayak
  • 1 sudu kecil esen vanilla

Bahan untuk doh coklat:

  • 100g mentega
  • 65g gula kastor
  • 1 biji telur – suhu bilik, kacau sebati
  • 190g tepung kek – ayak
  • 30g serbuk koko
  • 1/2 sudu kecil esen vanilla

Cara penyediaan

Cara penyediaan doh vanilla:

  1. Pukulkan gula kastor dan mentega sehingga kembang dan putih.
  2. Masukkan telur sedikit demi sedikit dan kacau sehingga sebati.
  3. Masukkan esen vanilla dan kacau kembali supaya sebati.
  4. Masukkan tepung yang telah diayak dan kacau sehingga menjadi bentuk doh yang lembut. Sejukkan seketika dalam peti sejuk bahagian sejuk beku selama 30 minit. Keluarkan dan bahagikan kepada 3 bahagian.
  5. Canaikan setiap satu doh kecil kepada bentuk segi empat, setebal 1cm.

Cara penyediaan doh coklat:

  1. Pukulkan gula kastor dan mentega sehingga kembang dan putih.
  2. Masukkan telur sedikit demi sedikit dan kacau sehingga sebati.
  3. Masukkan esen vanilla dan kacau kembali supaya sebati.
  4. Masukkan tepung yang telah diayak bersama serbuk koko dan kacaukan sehingga menjadi bentuk doh yang lembut.
  5. Sejukkan seketika dalam peti sejuk dalam bahagian sejuk beku selama 30 minit. Keluarkan dan bahagikan kepada 3 bahagian.
  6. Canaikan setiap satu doh kecil kepada bentuk segi empat setebal 1 cm.

Cara penyediaan biskut dam:

  1. Susunkan kepingan doh vanilla-coklat-vanilla.
  2. Susunkan kepingan doh coklat-vanilla-coklat.
  3. Sejukkan kembali dalam peti sejuk selama 30 minit. Keluarkan dan potong doh yang disusun tadi setebal 1m. Pastikan potongan sama rata.
  4. Ambil 3 keping doh yang telah dipotong tadi dan susun secara bertindan dan berselang seli. Anda akan dapat hasilkan 4 batang panjang doh biskut dam.
  5. Kemudian, sejukkan sekali lagi selama 10 minit dan keluarkan untuk dipotong setebal 1m. Susun di atas dulang pembakar yang telah digris dan dilapik dengan kertas pembakar.
  6. Panaskan ketuhar pada suhu 150°c dan bakar biskut dam selama 15-20 minit.

Tips:

Bancuhan doh biskut ini sangat lembut. Penyejukkan doh dalam peti sejuk bertujuan merehatkan doh dan memudahkan ia dibentuk. Apabila doh dalam keadaan sejuk, potongan biskut akan menjadi cantik dan tepat mengikut saiz yang dikehendaki.

 

Kuih Raya #4: Biskut sampan

Kuih Raya
Kredit: norazlitaaziz.blogspot.com

Bagi mendapatkan bentuk sampan yang betul, sediakan acuan yang tepat. Bagi mendapatkan doh yang mudah dibentuk, pastikan doh disimpan seketika dalam peti sejuk. Biskut ini jarang dilakukan dan sukar untuk dijumpai walaupun di kedai-kedai menjual kuih raya.

Jika anda teringin untuk membuat sendiri biskut ini, anda boleh mencuba resepi yang kami sediakan ini. Selamat mencuba!

Bahan utama:

  • 250gm mentega
  • 1 cawan gula aising
  • 4 1/2 cawan tepung gandum
  • 2 biji kuning telur

Bahan inti:

  • 1/2 buku mentega
  • 3/4 cawan gula aising
  • 2 biji kuning telur
  • 1 sudu kecil esen vanilla
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 tin kelapa kering
  • 1 cawan buah-buahan campuran

Cara penyediaan:

Adunan biskut:

  1. Pukul mentega, gula aising dan kuning telur sehingga sebati.
  2. Masukkan tepung sikit demi sedikit sehingga adunan menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di jari.
  3. Sapu acuan dengan mentega. Masukkan sedikit adunan dan tekan sehingga menjadi bentuk sampan (ikut bentuk acuan)
  4. Isikan inti dalam acuan berisi adunan dan tekan perlahan sehingga isi padat dan rata menutupi acuan sampan.
  5. Susun adunan yang telah siap diisi inti ke dalam loyang pembakar. Bakarkan biskut pada suhu 180°c selama 20 minit. Apbila biskut kelihatan terkeluar sedikit dari acuan dan bahagian atas berwarna keperangan. Keluarkan biskut dari ketuhar dan sejukkan.

Adunan inti:

  1. Pukul mentega, gula aising, kuning telur dan esen vanilla sehingga sebati.
  2. Masukkan kelapa, buah-buahan campuran dan tepung. Uli sehingga bahan membentuk doh yang lembut dan melekat dijari.
  3. Acuananggaran harga untuk 100 keping acuan, RM40. Ada dijual di kedai peralatan membuat kek dan kuih. Kebiasaannya 1 paket (RM4/10 keping).

Kuih Raya #5: Kuih karas

Kuih Raya
Kredit: paulacookingfingers.blogspot.com

Kuih karas ini biasanya terkenal di negeri utara Malaysia terutama sekali di Kedah Darul Aman. Ia selalu dihidangkan ketika musim perayaan Aidilfitri dan sentiasa dicari-cari oleh tetamu yang berkunjung ketika majlis rumah terbuka. Teksturnya yang rapuh dan ranggup membuatkan ianya juga digemari oleh kanak-kanak dan orang dewasa.

Kuih ini merupakan kuih tradisional yang dihasilkan menggunakan tepung beras dan bentuk yang terhasil adalah jaringan halus seperti bihun tetapi sangat rangup dan manis kerana digoreng dalam minyak yang banyak. Acuan kuih karas ini khas untuk menyediakan kuih ini sahaja dan digorengkan sehingga warna keemasan lalu diangkat dan dilipat menjadi bentuk seperti kipas.

Anda boleh mencuba sendiri dengan mengikuti resepi dan cara penyediaan yang telah disediakan dibawah ini.

Bahan utama:

  • 1 bungkus tepung beras
  • 2 cawan gula
  • 3 cawan air
  • Minyak masak – untuk goreng

Cara penyediaan:

  1. Ayak tepung dan gaulkan bersama gula. Kemudian, masukkan air dan kacaukan bahan sehingga sebati.
  2. Panaskan minyak masak dalam kuali yang sederhana. Masukkan adunan dalam acuan kuih karas (sama acuan dengan roti jala).
  3. Tuang adunan dalam kuali seperti buat roti kirai. Apabila warnanya telah bertukar kekuningan, angkat dengan segera dan lipat. Toskan supaya minyak kering.
  4. Apabila sudah sejuk, simpan kuih karas dalam bekas kedap udara. Ia bertujuan untuk elakkan kuih menjadi lemau dan masuk angin.

 

Kuih Raya #6: Kuih suji

Kuih Raya
Kredit: Twitter.com

Kuih suji merupakan antara kuih tradisional yang sering dihidangkan ketika musim perayaan dan digemari semua orang tidak mengira lapisan umur dan bangsa. Kuih suji sangat lembut dan rapuh mudah cair dimulut membuatkan ia sangat diminati oleh kanak-kanak.

Terigat zaman kanak-kanak dahulu, pergi je beraya rumah saudara mara, mesti ada je kuih suji terhidang atas meja. Cuma sekarang ini orang jarang dah nak buat. Jadi, kalau anda tetiba teringat zaman-zaman beraya dulu kala, bolehlah anda mencuba sendiri untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang berkunjung ketika beraya.

Bahan utama:

  • 3 cawan tepung gandum
  • 1 cawan tepung suji
  • 1 cawan gula aising
  • Minyak sapi – secukupnya
  • Ceri -hiasan

Cara penyediaan:

  1. Ayak tepung gandum terlebih dahulu. Kemudian, campurkan dengan tepung suji dan gula aising.
  2. Gaulkan sehingga rata. Masukkan minyak sapi sedikit demi sedikit sehingga boleh memmbentuk bebola kecil.
  3. Bulat-bulatkan doh dan susunkan dalam loyang dan letakkan hirisan ceri di atasnya. Jika mahukan corak yang berbeza, tekapkan dalam acunan mengikut bentuk yang anda suka.
  4. Bakarkan selama 10-15 minit dengan suhu 150°c.

 

Kuih Raya #7: Kuih batang buruk

Kuih Raya
Kredit: pikdo.com

Nama yang unik dan rasa yang menarik membuatkan ia juga antara kuih raya tradisional yang popular. Warnanya yang putih dan ditambah pula dengan serbuknya yang manis menjadikan rasanya sebati dan enak sekali.

Pastikan bahan yang digunakan dan cara penyediaan adalah betul dan tepat. ia bagi memastikan kuih batang buruk dapat dihasilkan dengan jayanya dan mengekalkan rasanya yang rapuh dan serbuknya sebati bersama kulitnya. Selamat mencuba!

Bahan utama:

  • 600gm tepung gandum
  • 300gm tepung beras
  • 1 biji santan kelapa
  • 600gm kacang hijau
  • 400gm gula kisar
  • 3 biji telur
  • Minyak masak

Cara penyediaan:

  1. Panaskan santan sehingga mendidih. Tutup api dan biarkan santan sehingga sejuk.
  2. Sangai kacang hijau dan buang kulitnya. Kisarkan sehingga halus dan campurkan dengan gula. Ketepikan seketika.
  3. Gaulkan tepung gandum bersama santan tadi. Masukkan telur dan uli semua bahan sehingga sebati.
  4. Canaikan sehingga nipis dan potong ikut saiz 2cm x 3cm. Gulung dan biarkan berlubang ditengah-tengah.
  5. Potong kecil dan gorengkan sehingga kekuningan.
  6. Setelah garing, angkat dan isikan bahagian tengah yang berlubang dengan bancuhan kacang hijau bersama gula tadi.

 

Kuih Raya #8: Biskut gajus

Kuih Raya
Kredit: marianicookies.blogspot.com

Biskut gajus akan bertambah lebih enak jika diletakkan juga sebiji kacang gajus diaas biskut. Biskut ini juga antara kuih tradisional yang kian dilupakan dan jarang sekali dibuat ketika musim perayaan. Cara penyediaannya mudah dilakukan dan pastikan acuan yang digunakan juga mengunakan bentuk gajus. Barulah kena dengan namanya biskut gajus, semua bersangkutan dengan kacang gajus.

Apa tunggu lagi, jumlah cuba buat sendiri untuk Raya.

Bahan utama:

  • 200gm mentega
  • 100gm gula aising
  • 1 biji telur
  • 5g esen vanilla
  • 50gm tepung jagung
  • 100gm tepung gandum
  • 5gm garam
  • 10gm kacang gajus

Cara penyediaan:

  1. Pukul mentega bersama gula aising sehingga kembang.
  2. Masukkan telur dan esen vanilla.
  3. Kemudian, masukkan garam dan campurkan tepung gandum serta tepung jagung.
  4. Uli semua bahan sehingga sebati dan bentukkan adunan menjadi bentuk gajus. Hiaskan sebiji kacnag gajus di hujung adunan tadi. Sapukan telur di atas biskut.
  5. Bakarkan dalam ketuhar pada suhu 180°c selama 15 minit.

 

Kuih Raya #9: Kuih rengginang

Kuih ini juga sangat popular ketika musim perayaan suatu ketika dahulu dan sangat diminati semua orang. Ia merupakan kuih tradisional nusantara kerana ia juga popular di negara-negara sekitar nusantara iaitu, Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand serta Filipina. Kuih ini adalah keropok beras pulut yang telah dijemur sebelum digoreng garing.

Ia seperti keropok ikan, namun, apa yang membezakannya ialah bahan utama yang digunakan untuk membuat kuih ini. Malahan ia juga sesuai dijadikan kudapan ketika minum petang atau pada bila-bila masa. Buat dalam kuantiti yang banyak kemudian simpan dalam bekas kedap udara. Apabila nak makan, barulah goreng garing untuk dihidangkan.

Selamat membuat sendiri keropok rengginang!

Bahan utama:

  • 1 cawan pulut – rendam 1-2 jam dan toskan
  • 1/2 cawan air
  • 1 sudu besar garam + 1/2 cawan air – bancuh sehingga larut
  • Pewarna – merah, kuning, hijau
  • Daun pisang
  • Dulang pengukus
  • Loyang

Cara penyediaan:

  1. Campurkan air dan pulut dalam loyang dan kukuskan sehingga pulut masak. Sebaik sahaja masak, angkat dan bahagikan pulut kepada beberapa bahagian dan warnakan.
  2. Ambil pulut satu sudu besar (ikut saiz yang anda mahukan), bulatkan guna mulut gelas.
  3. Sambil itu, ratakan pulut dengan air garam (hanya sedikit, sekadar renjis sedikit dipermukaan pulut).
  4. Alaskan dengan daun pisang dan letakkan atas dulang. Jemrukan sehingga kering. Jemurkan beberapa hari, bergantung pada cuaca.
  5. Setelah kering, simpankan dalam botol kedap udara.
  6. Apabila nak makan, panaskan minyak dan gorengkan sehingga masak.

 

Kuih raya #10: Kuih buah rotan

Kuih Raya
Kredit: ciksitionline.blogspot.com

Kuih buah rotan ini juga dikenali dengan nama kuih redan atau keciputan dalam kalangan masyarakat Melayu sejak dahulu lagi. Ia merupakan antara kuih aya tradisional masyarakat Melayu. Ia hanya menggunakkan bahan utama yang mudah iaitu tepung pulut dan telur. Teksturnya yang bulat-bulat terhasil kerana proses pembuatannya perlu digentel-gentel tepung tersebut.

Sebelum ianya digoreng, ia perlu disalutkan dengan kacang bijan. Pastikan api yang digunakan sederhana supaya ia ia masak dengan sempurna dan tidak hangit diluar. Jika guna minyak yang perlahan, ia akan menyebabkan minyak menyerap dengan banyak ke dalam. Jadi, anda harus pastikan suhu minyak adalah bersesuaian dan kuih buah rotan dapat dimasak dengan baik dan garing serta ranggup untuk dimakan.

Selamat mencuba!

Bahan utama:

  • 3 biji telur – gred B
  • 4 tbsp gula halus
  • 1/2 tsp garam
  • 1 tsp air kapur sireh
  • 200g tepung pulut
  • Bijan – salut
  • Minyak masak – goreng

Cara penyediaan:

  1. Kacau telur dan gula dengan pemukul tangan sehingga berbuih dan gula larut. Masukkan garam dan air kapur. Kacaukan sehingga semua bahan rata dan sebati.
  2. Masukkan tepung pulut sedikit demi sedikit. Ulikan sehingga membentuk satu doh. Masukkan doh dalam bekas tertutup supaya doh tidak kering.
  3. Bilaskan bijan dengan air lalu ditoskan sehingga kering. Taburkan bijan dalam dulang. Ambil secubit doh, bulat-bulatkan sama besar dengan guli. Jangan terlalu besar, nanti bila goreng, dia pecah.
  4. Selepas itu, golekkan biji-biji rotan denagn bijan yang ditaburkan dalam dulang tadi. Apabila sudah selesai gentel semua adunan dan disadurkan dengan bijan. Gorengkan dengan api yang sederhana supaya ia masak sepenuhnya.
  5. Untuk elakkan bijan tertanggal semasa menggoreng, gentelkan adunan yang sudah bercampur bijan dengan tangan yang basah. Pastikan tangan bersih. Golek-golekkan adunan sehingga bsekata. Barulah boleh digoreng.

 

 

Ini adalah antara kuih raya tradisional yang kian luput dan kian dilupai oleh masyarakat kini ketika musim perayaan Aidilfitri. Akibat kekangan masa dan kesibukan dalm menjalankan pekerjaan harian, ia tidak lagi menjadi kebiasaan untuk para ibu menyediakan kuih-kuih ini. Prosesnya yang rumit juga menjadikan ia jarang sekali dibuat.

Apa kata bagi mengekalkan dan memastikan warisan nenek moyang kita dalam makanan tradisional dapat diteruskan, kita buat ketika raya. Generasi kini pun kenal apa kuih muih yang sering dihidangkan dan menjadi kegilaan kita ketika zaman kanak-kanak dahulu.

Dikesempatan ini, Kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin!

The post 10 Kuih Raya yang Hampir Pupus di Musim Raya appeared first on Butterkicap.

(Visited 107 times, 1 visits today)
4
Like
Save

Comments

Comments are disabled for this post.