Resepi Stik Daging Rusuk Panggang Keto

Resepi Stik Daging Rusuk Panggang Keto

Bagi kebanyakan orang yang ingin atau sedang berdiet, mereka lazimnya akan cuba untuk mengurangkan kadar pengambilan lemak dan protein. Dalam erti kata lain, mereka akan kurangkan pengambilan daging mereka.

Namun begitu, bagi peminat daging tegar, agak sukar bagi mereka untuk berhenti atau mengurangkan kadar pengambilan daging mereka secara mendadak. Jadi, adakah cara lain untuk mereka berdiet tanpa memerlukan mereka berhenti makan masakan berdaging?

 

Diet Keto Si Penyelamat!

Diet keto, walaupun masih baru di Malaysia, sudah mula mendapat tempat dalam kalangan golongan yang ingin berdiet. Hal ini demikian kerana diet keto tertumpu pada penyesuaian tubuh badan untuk membakar lemak dan sekaligus menurunkan berat badan.

Secara ringkasnya, diet keto ini sesuai untuk peminat daging tegar kerana mereka bukan sahaja dibenarkan malah digalakkan untuk makan makanan berlemak supaya proses amalan diet keto mereka dapat memberikan impak ataupun hasil yang diingini.

Resepi daging rusuk panggang ini merupakan salah satu resepi berdaging yang disyorkan oleh pengamal diet keto tempatan, Puan Roslina Manaf yang lebih dikenali dengan nama Instagram beliau, AsianKeto.

Resepi ini sememangnya mudah dan ringkas untuk disediakan serta sesuai untuk pengamal diet keto solo. Jika tak percaya, bolehlah cuba sendiri. Memang mengenyangkan!

 

 

Nilai Nutrisi:

767 kcal
11g lemak
4.2g karbohidrat bersih
0.2g serat
11.4g protein

 

Stik daging rusuk

Bahan-Bahan

  • 1 stik daging rusuk
  • 1 sudu teh minyak kelapa
  • 1/2 sudu teh garam kosher
  • 1/2 sudu teh biji lada hitam
  • 3-4 tangkai daun rosemary
  • 2 ulas bawang putih, diketuk sedikit
  • 2 sudu besar mentega

 

Cara-Cara

  1. Letakkan kuali leper di atas penunu dapur. Hidupkan api dan panaskan kuali.
  2. Sapu kedua-dua belah daging stik dengan minyak dan perasa dengan garam serta lada hitam.
  3. Apabila kuali sudah cukup panas, letakkan stik ke dalam kuali dan panggang selama 2 minit. Alihkan stik dan letakkan bawang putih dan daun rosemary di atas daging yang dipanggang.
  4. Alihkan stik sekali lagi dan letakkan mentega di atas daging. Dengan penuh hati-hati, sengetkan kuali sedikit untuk mengaut kuah mentega, bawang putih dan daun rosemary untuk menyalut daging stik. Lakukan langkah ini selama 1-3 minit.
  5.  Apabila daging sudah masak, angkat daging dari kuali dan biarkan rehat selama 5 minit.
  6. Apabila daging stik dikeluarkan, tambah 2 sudu besar mentega dan 1 sudu besar krim untuk menyediakan sos mentega.
  7. Hidangkan daging stik dengan sos mentega masak di tepi.

 

Stik daging rusuk

Tip

  1. Teknik masakan ini mengeluarkan kepulan asap yang banyak. Pastikan anda menyediakan resepi di kawasan yang mempunyai aliran udara yang baik.
  2. Teknik masakan bagi resepi ini memerlukan kuali anda menjadi sangat panas. Pastikan anda menyediakan kain pemegang periuk yang mencukupi untuk digunakan kemudian.
  3. Untuk melihat sama ada daging sudah masak menurut tahap masak yang anda mahu, tekan daging. Jika masih lembut, daging anda separa masak dan jika daging kenyal, daging anda masak sepenuhnya.

The post Resepi Stik Daging Rusuk Panggang Keto appeared first on Butterkicap.

(Visited 6 times, 1 visits today)
2
Like
Save
New Malaysia News